Wednesday, March 30, 2011

Inspirasi Si Kecil Bernama Semut


Kita seringkali terdengar perumpamaan rajin seperti semut tetapi tahukah kita kenapa wujud perumpamaan sedemikian? Mungkinkah ada perumpamaan lain yang juga sesuai untuk semut?
Semut, makhluk Allah yang kecil, tetapi kecilnya seperti cili padi, pedas dan confirm berasap? kenapa ya?
Kalau kita perhatikan semut, semut akan selalu berusaha secara berulang-ulang dan terus menerus sehingga ia berjaya mencapai matlamat yang digenggam.
Analogi yang diberikan cukup mudah. Bayangkan kalau ada cebisan makanan di lantai, dan cebisan itu saiznya jauh lebih besar daripada si semut, tetapi pernahkah nampak semut tidak mengerumuni cebisan makanan itu? Tidak bukan? Semut akan berusaha mengangkut cebisan makanan itu ke sarangnya sedikit demi sedikit sehinggalah habis.
Andai dalam perjalanan mengangkut cebisan makanan itu terhalang, semut akan berusaha sedaya upaya dan memilih jalan yang lain mungkin ke kiri dan mungkin juga ke kanan sehinggalah matlamatnya untuk mengangkut cebisan makanan tersebut ke sarangnya tercapai.
Kadang-kadang jalan yang dilalui si semut itu terhalang dek air, maka ia bersama kawan-kawannya saling berkerja sama membuat jambatan. Jika semut-semut yang lain sudah menyeberang, maka semut-semut yang membentuk jambatan akan merapat ke tepi.
SubhanAllah, Indahnya ciptaan illahi :)
Hakikatnya, semut mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam mewujudkan tekadnya untuk meraih apa yang diinginkan malahan ia tidak pernah kenal erti penat mahu pun lelah.
Sebagai perkongsian cerita, pada suatu masa dahulu ada seorang arab badwi pergi merantau kerana sesuatu keperluan. Dia merasa sangat letih dan penat serta berputus asa. Maka ia terduduk dan berfikir untuk kembali lagi. Kemudian dia melihat seekor semut yang merangkak naik ke atas batu besar, namun semut tersebut jatuh dan semut itu terus merangkak naik lagi ke atas batu besar itu berulang-ulang kali.
Setelah mencuba, akhirnya semut itu berjaya menaiki batu besar itu . Melihatkan situasi tersebut, si arab badwi itu berkata " Saya sepatutnya bersabar dan berusaha keras lebih daripada semut tersebut."
Akhirnya si arab badwi itu meneruskan perjalanannya dan berjaya sampai ke tempat yang ditujunya dan dia berkata "Cari dan raih , jangan pernah berkeluh kesah dan bosan dari usaha meraih apa yang kamu inginkan. Kerana penyakit orang yang ingin mencari dan meraih sesuatu adalah bosan."
Hebatkan si kecil bernama semut?
Terdapat kajian yang dijalankan menunjukkan semut mengumpulkan makanannya dari musim panas sehinggalah ke musim sejuk. Oleh sebab semut tidak banyak keluar pada musim sejuk, maka makanan yang telah dikumpul hanya di makan apabila tiba musim sejuk ini.
Cara semut untuk memastikan makanan yang disimpan itu kekal elok, maka dengan kuasa illahi semut tersebut akan membelah ditengah biji bijian itu di tengah bagi memastikan makanan itu tahan lama.
Semut mempunyai sifat cekal dan kesabaran yang tinggi malahan kita wajar mengambil iktibar darinya. Malah seandainya anda meletakkan sebuah batu ditengah-tengah jalan yang digunakan oleh kawanan semut, mereka tidak berundur sebaliknya mencari jalan lain dan berusaha sehingga matlamat itu tercapai.
Kalau dulu, saya hanya percaya perlu rajin seperti semut, tetapi kini saya percaya perlu gigih dan cekal seperti semut.

Thursday, March 24, 2011

Ucapan Salam Di Syurga


(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan. (Surah An-Nahl ayat 32)
Sejarah SALAM
Diriwayatkan bahawa ketika Nabi Adam (AS) selesai diciptakan, Allah (SWT) menyuruh Nabi Adam (AS) bertemu dengan segolongan malaikat yang sedang duduk dan memberi salam kepada mereka."Dengarkanlah, jawapan salam mereka kepadamu, sesungguhnya itu adalah sebagai penghormatan bagimu dan bagi keturunanmu", Allah (SWT) berfirman kepada Nabi Adam (AS). Maka Nabi Adam (AS) pun menghampiri para malaikat itu dan mengucapkan salam yang diajarkan Allah keapda baginda iaitu: "Assalamu 'alaikum".
"Waalaikumus salam warahmatullah", jawab para malaikat.
(HR. Bukhari - Muslim).
Prinsip-Prinsip Dalam Lafaz Salam
1. Mengingati  Allah  (SWT).
2. Peringatan kepada diri sendiri untuk menjaga kesejahteraan.
3. Ungkapan dan penyebaran kasih sayang antara sesama umat Islam.
4. Doa yang istimewa.
5. Janji dan pengakuan bahawa 'anda aman dari bahaya tangan dan lidahku' kepada orang yang diucapkan salam.
Protokol Ucapan Salam
Protokol (adab) dalam mengucapkan salam adalah seperti berikut:
- Orang yang berkenderaan mendahului memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.
- Orang yang berjalan kaki mendahului memberi salam kepada orang yang duduk.
- Kelompok yang sedikit mendahului memberi salam kepada kelompok yang lebih ramai.
- Orang yang hendak meninggalkan sesuatu tempat memberi salam kepada orang yang tinggal.
- Semasa keluar rumah dan juga semasa  pulang ke rumah, ucapkanlah salam walaupun tidak ada orang di rumah
- Jika bertemu berulang-ulang maka ucapkan salam setiap kali bertemu.
- Orang yang hendak berucap mengucapkan salam kepada orang yang mendengar (di depannya)
- Orang yang lebih muda mendahului mengucapkan salam kepada orang yang lebih tua.
- Orang yang baru sampai mengucapkan salam kepada orang yang telah dahulu berada di satu-satu tempat.
SALAM: Ucapan Penghuni Syurga
UCAPAN atau perkataan yang digunakan oleh para penghuni syurga adalah ucapan salam atau ucapan keselamatan dan kata-kata yang baik kerana kebahagiaan mereka dapat memasuki syurga. Tiada perkataan  melukakan perasaan atau ucapan yang sia-sia dan keji. Semua ucapan penghuni syurga adalah ucapan kesejahteraan, kasih sayang dan kebahagiaan.
"Mereka (para penghuni syurga) tidak akan mendengar perkataan yang sia-sia yang menyebabkan dosa, melainkan perkataan salam, selamat, sejahtera."(Surah Al-Waqi'ah : 25-26).
Dan para malaikatpun akan menyampaikan ucapan selamat kepada penghuni-penghuni syurga : "Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, dihalau ke dalam syurga dengan berbondong-bondong, sehingga apabila mereka sampai kepadanya, dibukalah pintu-pintunya dan berkata malaikat-malaikat penjaganya kepada mereka : Selamat untukmu, kamu telah suci, maka masuklah kamu kedalam syurga serta kekal (di dalamnya)." (Surah Az-Zumar: 73).
Sekiranya kita mengaharapkan dan mengimpikan kehidupan di syurga, maka budayakan ucapan salam dan perkataan yang baik-baik dalam kehidupan kita di dunia ini.

Bacalah


Kita seringkali disarankan untuk membaca dan dikaitkan dengan wahyu yang pertama di terima oleh Rasulullah SAW. Namun kali ini saya ingin membawa saudara semua melihat sebuah pengajaran yang amat dalam yang selama ini kita abaikan.
Ketika wahyu pertama diturunkan, Rasulullah SAW diminta membaca oleh Malaikat jibril. Jawapan Nabi ketika itu adalah "aku tidak tahu". Lalu diulang lagi oleh Malaikat Jibril namun jawapan Rasulullah SAW tetap sama.
Namun setelah Allah SWT mewahyukan ayat yang lengkap iaitu "bacalah dengan nama Tuhanmu" sehingga ayat-ayat seterusnya, barulah wahyu seterusnya mudah untuk Rasulullah membaca wahyu Allah SWT.
Bacalah
Jelas Rasulullah sendiri tidak mampu membaca apabila di minta oleh Allah SWT untuk membaca. Tetapi setelah Allah SWT mewahyukan "bacalah dengan nama Tuhanmu" barulah Rasulullah mampu membaca wahyu-wahyu seterusnya. Mari kita lihat diri kita hari ini. Kita tidak belajar, menafsir, mengaplikasi, sintesis, memahami, mengetahui dan lain-lain dengan nama Tuhanmu. Kita meminta anak-anak kita sekadar membaca tetapi jarang kita meminta bacalah dengan nama Tuhanmu.
Pelajar-pelajar juga jarang disarankan agar membaca dengan nama Tuhanmu. Tetapi sering disarankan belajarlah bersungguh-sungguh. Sedangkan Rasulullah di minta oleh Allah SWT seawalnya bacalah dengan nama Tuhanmu. Ketika kita membaca dengan nama Tuhanmu, kita tidak menggunakan fikiran untuk memahami tetapi menggunakan ilham yang diturunkan oleh Allah SWT terus ke jiwa kita dan barulah disimpan ke dalam otak kita dan dijanakan fikiran untuk diaplikasikan.
Inilah yang dikenali sebagai Konsep Ilahiyah. Saudara, mulai hari ini, bacalah dengan nama Tuhammu yakni Allah Swt. Bukan sekadar baca.
Iqra' : BACALAH!
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Lagi Maha Penyayang,
1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,
2. Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
3. Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,
4. Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,
5. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
6. Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,
7. Kerana dia melihat dirinya serba cukup.
8. Sesungguhnya Hanya kepada Tuhanmulah kembali(mu).
9. Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang,
10. Seorang hamba ketika mengerjakan solat,
11. Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu berada di atas kebenaran,
12. Atau dia menyuruh bertakwa (kepada Allah)?
13. Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling?
14. Tidaklah dia mengetahui bahwa Sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya?
15. Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti (berbuat demikian) nescaya kami tarik ubun-ubunnya,
16. (yaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka.
17. Maka Biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya),
18. Kelak kami akan memanggil malaikat Zabaniyah,
19. Sekali-kali jangan, janganlah kamu patuh kepadanya; dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan)
اقْرَØ£ْ بِاسْÙ…ِ رَبِّÙƒَ الَّذِÙŠ Ø®َÙ„َÙ‚َ
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan," (Surah Al-Alaq 96: Ayat 1)  

Di Mana Dia Di Hatimu?


Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.
Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.
Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.
Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.
Ketika kamu tiada jawatan?
Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.
Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.
Lalu, di mana Dia dihati kita?
Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?
Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?
ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!
Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);
"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."
Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?
Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?
Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?
Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?
Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.
Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri
Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"
Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."
Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.
Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"
Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."
Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.
Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.
Dan kita akan terus mengemis kasih...